Hadis Sahih: Sahabat Menjampi
Imam
al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan: HS Abu
an-Nu`man, HS Abu `Awanah, daripada Abi Bisyr, daripada Abu al-Mutawakkal,
daripada Abu Sa`id radhiyallahuanhu, beliau bercerita:
انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ
صلى الله عليه وسلم فِي سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ
الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ
الْحَىِّ فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ شَيْءٌ فَقَالَ بَعْضُهُمْ
لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلاَءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ
بَعْضِهِمْ شَيْءٌ
Sebahagian sahabat Nabi SAW telah keluar
bermusafir. Sehinggalah mereka sampai di suatu kawasan pendalaman. Para sahabat
meminta kepada orang kawasan itu untuk menjadikan mereka sebagai tetamu. Namun
permintaan mereka ditolak dengan keras.
Tiba-tiba pemimpin orang Arab kawasan tersebut
telah digigit (oleh kala jengking). Mereka pun melakukan berbagai cara
perubatan tetapi tetap juga tidak dapat mengubatinya. Lalu di kalangan mereka
ada yang berkata: ‘Bagaimana kalau kita bawakan pemimpin kita kepada kumpulan
yang datang tadi. Barangkali mereka mempunyai sesuatu yang dapat mengubati
pemimpin kita ini’.
فَأَتَوْهُمْ فَقَالُوا يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ
إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَيْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ فَهَلْ عِنْدَ
أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَيْءٍ فَقَالَ بَعْضُهُمْ نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّي لأَرْقِي
وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدِ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضِيِّفُونَا فَمَا أَنَا بِرَاقٍ
لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلاً فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنَ الْغَنَمِ
Lantas mereka pun membawa dia kepada para
sahabat, seraya mereka berkata:
“Wahai kafilah, pemimpin kami telah digigit
(oleh kala jengking). Kami telah berusaha mengubatinya, tetapi tidak berkesan.
Adakah kamu mempunyai sesuatu yang dapat mengubatinya?” Salah seorang sahabat
Nabi telah berkata:
“Ya! Demi Allah aku akan menjampi pemimpin kamu
itu. Tetapi demi Allah, sebelum ini kami telah meminta kamu menerima kami
sebagai tetamu tetapi kamu benar-benar tidak mahu menerima permintaan kami. Aku
tidak akan menolong kamu sehinggalah kamu berjanji memberikan kami sesuatu.” Mereka
pun bersetuju untuk memberikan sekumpulan kambing.
فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ وَيَقْرَأُ
{الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ} فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ فَانْطَلَقَ
يَمْشِي وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ قَالَ فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمُ الَّذِي صَالَحُوهُمْ
عَلَيْهِ
Sahabat Nabi tersebut pun menghembus pemimpin
mereka, dan membaca surah al-Fatihah. Seketika kemudian, nampaklah dia sihat
kembali. Seakan-akan terbebas dari ikatan tali. Dia bangun dan berjalan, tidak
menunjukkan tanda-tanda kesakitan lagi. Lalu mereka pun memberikan barang yang
telah dipersetujui tadi.
فَقَالَ بَعْضُهُمُ اقْسِمُوا فَقَالَ الَّذِي
رَقَى لاَ تَفْعَلُوا حَتَّى نَأْتِيَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَنَذْكُرَ لَهُ
الَّذِي كَانَ فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللهِ صلى الله
عليه وسلم فَذَكَرُوا لَهُ فَقَالَ وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ، ثُمَّ قَالَ
- قَدْ أَصَبْتُمُ اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا فَضَحِكَ رَسُولُ اللهِ
صلى الله عليه وسلم.
Sebahagian dari sahabat berkata: ‘Bahagikanlah
ia’. Namun sahabat nabi yang menjampi tadi berkata: ‘Janganlah dibahagikan
lagi, sehinggalah kita telah menemui Nabi SAW , dan kita ceritakan apa yang telah
berlaku kepada baginda. Lalu kita lihatlah apa yang akan diperintahkan baginda
kepada kita.’
Mereka pun bertemu Rasulullah SAW lantas
menceritakan kisah yang berlaku. Rasulullah pun bertanya: ‘Bagaimana kamu tahu
bahawa al-Fatihah itu boleh dijadikan jampi?’ kemudian Rasulullah berkata lagi
: ‘Benarlah apa yang kamu lakukan. Bahagikanlah pemberian itu, dan berikanlah
kepadaku sedikit’ lalu Rasulullah SAW pun ketawa”.
[HR Al-Bukhari di dalam Sahih
al-Bukhari: 2276]