Hadis Sahih:Nabi Cium Isterinya Kemudian Solat
Ibnu Majah dengan sanadnya
merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah dan Ali bin
Muhammad, kedua-dua mereka berkata: Diceritakan kepada kami oleh Waki`, beliau
berkata: diceritakan kepada kami oleh al-A`masy, daripada Habib bin Abi Sabit, daripada `Urwah bin
az-Zubair, daripada Aishah:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ: «قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ، وَلَمْ يَتَوَضَّأْ»
قُلْتُ: مَا هِيَ إِلَّا أَنْتِ «فَضَحِكَتْ»
Rasulullah SAW mencium sebahagian
daripada isteri baginda, kemudian keluar untuk mendirikan solat, dan tidak
(mengulang) wuduk. Lalu aku berkata: Tidaklah orang itu melainkan kamu. Lantas
dia (Aishah) pun ketawa.
(HR Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu
Majah, bilangan 502)
►Kualiti Hadis
Ulama berbeza pendapat dalam
menyatakan status kualiti hadis ini:
❶ Hadis ini sahih dan kuat untuk dijadikan hujah.
Syeikh Fuad `Abdul Baqi
menyebutkan: Hadis ini telah diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang ada
padanya Irsal (atau mursal). Irsal tidak memudaratkan dalam hujah di sisi
Jumhur. Telah terdapat isnad yang bersambung yang disebutkan oleh
ad-Daruquthni. Al-Bazzar pula menyatakan dengan Isnad yang hasan. Penulis (Ibnu
Majah) meriwayatkan dengan dua sanad. Maka hadis ini menjadi hujah dengan
sepakat.
Syeikh Nasiruddin al-Albani
pula berkata: Hadis ini sahih.
Syeikh Syu`ib al-Arnaout
di dalam ulasan pada Musnad Imam Ahmad bilangan 25766 pula menyatakan: Isnad
hadis ini Sahih. Para perawi hadisnya dipercayai dan menjadi perawi hadis-hadis
Syaikhain (Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab Sahih mereka berdua.)
❷ Hadis ini Dhoif dan tidak boleh dijadikan hujah.
Ulama yang menyatakan hadis ini Dhoif menjadikan
kecacatan Habib bin Abi Sabit sebagai hujah. Mereka mendakwa bahawa Habib bin
Abi Sabit tidak mendengar hadis ini daripada `Urwah.
Pendapat ini adalah pendapat yang dipelopori oleh Imam
al-Bukhari, Imam at-Tirmizi, dan Ibnu Hajar al-`Asqalani.
►Hukum Mencium Isteri kemudian Solat Tanpa Memperbaharui Wuduk
Imam at-Tirmizi di dalam Sunan at-Tirmizi, bilangan 86
menyatakan: Hadis seperti ini telah diriwayatkan oleh ahli ilmu daripada
kalangan para sahabat Nabi SAW dan Tabiin. Ia juga adalah pendapat Sufyan
as-Sauri dan Ahli Kuffah. Mereka menyatakan:
Mencium (isteri) tidak membatalkan wuduk.
Manakala Malik bin Anas, al-Auza`ir, asy-Syafii, Ahmad
dan Ishaq pula menyatakan mencium isteri membatalkan wuduk. Ia juga
adalah pendapat bukan seorang daripada kalangan ahli ilmu sahaja dalam kalangan
para sahabat Nabi dan Tabiin.
#Wallahua`lam