Hadis Sahih: Pekebun Ahli Syurga
Imam
al-Bukhari dengan
sanadnya meriwayatkan: Diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin Sinan,
diceritakan kepada kami oleh Fulaih, diceritakan kepada kami oleh Hilal (ح), diceritakan kepada kami
oleh Abdullah bin Muhammad, diceritakan kepada kami oleh Abu `Amir, diceritakan
kepada kami oleh Fulaih, daripada Hilal bin Ali, daripada Ata’ bin Yasar,
daripada Abu Hurairah radhiyallahuanhu,
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَوْمًا
يُحَدِّثُ، وَعِنْدَهُ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ البَادِيَةِ:
Nabi SAW telah bercerita pada suatu
hari, ketika itu terdapat seorang ahli al-Badiyah (Arab Kampung) yang berada di
sisi baginda.
" أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ اسْتَأْذَنَ رَبَّهُ
فِي الزَّرْعِ، فَقَالَ لَهُ: أَلَسْتَ فِيمَا شِئْتَ؟ قَالَ: بَلَى، وَلَكِنِّي
أُحِبُّ أَنْ أَزْرَعَ، قَالَ: فَبَذَرَ، فَبَادَرَ الطَّرْفَ نَبَاتُهُ
وَاسْتِوَاؤُهُ وَاسْتِحْصَادُهُ، فَكَانَ أَمْثَالَ الجِبَالِ
Ada seorang lelaki daripada penduduk
syurga meminta kebenaran daripada Tuhannya untuk bercucuk tanam. Lalu Allah
berkata kepadanya: “Bukankah kamu telah diperkenankan untuk melakukan segala
sesuatu mengikut keinginanmu?” Lelaki itu berkata, “Benar, tetapi aku ingin
berkebun di syurga ini.” Kemudian lelaki itu segera menabur benih. Tanamannya
tumbuh sangat cepat. Ia dapat menuai dalam waktu singkat. Selain itu, hasil
tuaiannya melimpah ruah, yang jika dihimpun, akan menimbun sebesar gunung.
فَيَقُولُ اللَّهُ: دُونَكَ يَا ابْنَ آدَمَ، فَإِنَّهُ لاَ
يُشْبِعُكَ شَيْءٌ "، فَقَالَ الأَعْرَابِيُّ: وَاللَّهِ لاَ تَجِدُهُ إِلَّا
قُرَشِيًّا، أَوْ أَنْصَارِيًّا، فَإِنَّهُمْ أَصْحَابُ زَرْعٍ، وَأَمَّا نَحْنُ
فَلَسْنَا بِأَصْحَابِ زَرْعٍ، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ
Kemudian Allah berfirman kepadanya,
“Nikmatilah, wahai anak Adam! Sungguh tiada sesuatu yang dapat menjadikanmu
puas (kenyang).” Maka lelaki Badwi yang mengamati cerita Rasulullah SAW
tersebut berkata, “Wahai, utusan Allah! Demi Allah, aku meyakini petani
tersebut adalah dalam kalangan kaum Quraisy atau kaum Ansar. Ini kerana mereka
manusia-manusia yang suka bercucuk tanam (berkebun). Sedangkan kami bukanlah
orang yang bekerja bercucuk tanam.” Apabila mendengar celoteh lelaki Badwi
tersebut, Rasulullah SAW pun ketawa.”
(HR al-Bukhari di dalam Sahih
al-Bukhari, bilangan: 2348)