Hadis Sahih: Anjuran Membunuh Cicak di Rumah
Imam
Muslim dengan
sanadnya meriwayatkan: Diceritakan kepada kami oleh Yahya bin Yahya,
diberitakan kepada kami oleh Khalid bin Abdullah, daripada Suhail, daripada
bapanya, daripada Abu Hurairah,beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ قَتَلَ وَزَغَةً فِي أَوَّلِ ضَرْبَةٍ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا
حَسَنَةً، وَمَنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّانِيَةِ فَلَهُ كَذَا وَكَذَا
حَسَنَةً، لِدُونِ الْأُولَى، وَإِنْ قَتَلَهَا فِي الضَّرْبَةِ الثَّالِثَةِ فَلَهُ
كَذَا وَكَذَا حَسَنَةً، لِدُونِ الثَّانِيَةِ»
Sesiapa yang membunuh cicak dengan
sekali pukul, maka dia mendapatkan sekian pahala. Sesiapa yang membunuhnya pada
pukulan yang kedua, maka dia mendapat sekian pahala yang lebih sedikit daripada
yang pertama. Jika dia membunuhnya pada pukulan yang ketiga, maka dia mendapat
sekian pahala yang lebih sedikit daripada yang kedua.
(HR Muslim di dalam Sahih Muslim,
bilangan: 2240)
Ulasan
Mengapa perlu membunuh cicak? Kami nyatakan
beberapa sebab berikut:
1. Nabi SAW menyuruh untuk membunuhnya
Imam Abu Daud dengan sanadnya meriwayatkan:
Diceritakan kepada kami oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah, beliau berkata:
diceritakan kepada kami oleh Yunus bin Muhammad, daripada Jarir bin Hazim,
daripada Nafi`, daripada Saibah pembantu perempuan al-Fakih bin al-Mughirah.
، أَنَّهَا دَخَلَتْ عَلَى عَائِشَةَ فَرَأَتْ فِي بَيْتِهَا
رُمْحًا مَوْضُوعًا، فَقَالَتْ: يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا تَصْنَعِينَ
بِهَذَا؟ قَالَتْ: نَقْتُلُ بِهِ هَذِهِ الْأَوْزَاغَ، فَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخْبَرَنَا: «أَنَّ إِبْرَاهِيمَ لَمَّا
أُلْقِيَ فِي النَّارِ، لَمْ تَكُنْ فِي الْأَرْضِ دَابَّةٌ، إِلَّا أَطْفَأَتِ
النَّارَ، غَيْرَ الْوَزَغِ، فَإِنَّهَا كَانَتْ تَنْفُخُ عَلَيْهِ، فَأَمَرَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَتْلِهِ»
Beliau telah masuk menemui Aisyah. Dia melihat
ada lembing di dalam rumah Aisyah. Lalu dia bertanya: Wahai Ummul Mukminin, apa
yang kamu buat dengan lembing ini? Aisyah menjawab: Kami membunuh cicak dengan
menggunakannya. Nabi SAW memberitahu kami bahawa ketika Ibrahim dibakar di
dalam api, tidak ada seekor binatangpun melainkan ia berusaha memadam api
tersebut kecuali cicak. Malahan ia meniup api berkenaan (supaya marak). Lalu Rasulullah
SAW memerintahkan supaya ia dibunuh.
(HR Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud,
bilangan: 3231,
Sahih menurut Fuad Abdul Baqi & al-Albani)
2- Terdapat kelebihan membunuhnya seperti yang disebutkan di dalam
hadis di atas.
3- Ia dalah sejenis binatang reptilia berdarah
sejuk yang cepat membiak dan membuat kekotoran. Sedangkan kebersihan sangat penting di dalam
menjamin nilai kebersihan di sesuatu tempat.
4- Sebahagian kajian menyebutkan bahawa
kekotoran daripada tahi cicak dapat menyebabkan beberapa jenis penyakit seperti E-Coli. Para doktor adalah
lebih arif terhadap hal ini.
WallahuA`lam.