Hadis Sahih: Lelaki Yang Rajin Mengeratkan Tali Persahabatan
Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan
kepadaku olehAbdul A`la bin Hammad, diceritakan kepada kami Hammad bin Salamah,
daripada Sabit, daripada Abi Rafi`, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW,
baginda bercerita:
" أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى،
فَأَرْصَدَ اللهُ لَهُ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ،
قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ: أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ، قَالَ:
هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا؟ قَالَ: لَا، غَيْرَ أَنِّي
أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ: فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ،
بِأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ "
Seorang lelaki menziarahi saudaranya
di suatu kampung yang lain. Lalu Allah mengutuskan seorang malaikat untuk menunggu
lelaki itu pada jalan yang biasa dilaluinya. Apabila dia sampai kepada tempat malaikat
berkenaan, malaikat itu bertanya: “Ke mana kamu mahu pergi?” Dia menjawab: “Aku
mahu menziarahi saudaraku yang berada di kampung ini.” Malaikat itu bertanya
lagi: “Adakah kamu berhutang budi kepadanya?” Dia menjawab: “Tidak. Melainkan
aku mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.” Malaikat itu berkata: ”Aku ialah
utusan Allah kepadamu, (aku mahu menyampaikan) bahawa Allah mencintai engkau seperti
mana engkau mencintai saudaramu itu.”
(HR Muslim, di dalam Sahih Muslim,
bilangan: 2567)
Pengajaran
❶ Menziarahi
saudara kandung, kaum kerabat, saudara sesama Islam atas tujuan mengeratkan
hubungan silaturahim adalah amalan terpuji yang sangat disukai Allah.
❷ Allah
mengiktiraf cinta-Nya kepada orang yang saling mengasihi saudaranya, umumnya
yang seakidah dan khususnya yang sama keturunan.
❸ Islam
menunjukkan bahawa ia adalah agama yang mementingkan hidup bermasyarakat. Ia
bukan agama yang sentiasa bersembunyi dan mendiamkan diri di rumah atau
tempat-tempat ibadat.