Hadis Sahih: Jika Tak Malu, Buatlah!
Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan
kepada kami oleh Ahmad bin Yunus, daripada Zuhair, diceritakan kepada kami oleh
Mansur, daripada Rib`I bin Hirasy, diceritakan kepada kami oleh Abu Mas`ud
`Uqbah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
«إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ، إِذَا
لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ»
Antara perkataan para Nabi terdahulu
yang telah diketahui orang ramai ialah: Jika kamu tidak
malu, lakukanlah apa yang kamu mahu.
(HR Al-Bukhari di dalam Sahih Al-Bukhari,
bilangan: 3483)
Ulasan perkata:
(Antara perkataan para
Nabi terdahulu yang telah diketahui orang ramai) : Ia adalah kata-kata
yang berupa hikmah dan syariat yang tidak pernah berubah sekalipun
bertukar-tukar nabi. Kata-kata ini tidak bercanggah dengan akal serta disepakati
oleh setiap nabi, justeru itu mereka berdakwah dengan menyebutnya.
(Jika kamu tidak malu)
: Sekiranya diri sudah tidak ada perasaan malu yang akan menghalang daripada
melakukan perkara buruk dan maksiat.
(lakukanlah apa yang
kamu mahu.) : Perkataan ini boleh
difahami dengan dua cara: Pertama, ia bukan bertujuan memberi izin, tetapi ia
adalah lenggok bahasa yang menunjukkan ancaman terhadap perbuatan tersebut. Sesiapa
yang tidak malu melakukan dosa, bererti dia sanggup menerima azab dan hukuman. Kedua,
ia membawa maksud keharusan. Apabila ada sesuatu amalan kebaikan yang kamu
tidak pandang ia hina, ataupun ia bukanlah suatu dosa, maka lakukanlah dengan
senang hati.
Wallahua`lam.