Hadis Sahih: Bersungguh-Sungguh Mendekati Allah
Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan
kepada kami oleh `Umar bin Hafsin, diceritakan kepada kami oleh bapanya,
diceritakan kepada kami oleh al-A`masy, beliau berkata: Aku mendengar daripada
Abu Soleh, daripada Abu Hurairah radhiyallahuanhu berkata: Nabi SAW
bersabda:
" يَقُولُ
اللَّهُ تَعَالَى: أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا
ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ
ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ
إِلَيَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا
تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا، وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
"
Allah Taala berfirman: Aku
adalah di bawah sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya
apabila dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingatiku di dalam dirinya, maka
Aku akan mengingatinya di dalam diri-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku di dalam
kelompok, maka Aku akan mengingatinya di dalam kelompok yang lebih baik
daripada mereka. Sekiranya dia mendekati-Ku sejengkal, Aku akan
dekatinya sehasta. Sekiranya dia mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa.
Sekiranya dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan mendatanginya dengan
berlari kecil.
(HR Al-Bukhari di dalam Sahih Al-Bukhari ,
bilangan: 7405)
Ulasan perkata:
(Aku adalah di bawah
sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku) : Allah memberikan sesuatu perkara
berdasarkan sangkaan hamba kepada-Nya. Sekiranya seorang hamba mahu mendapatkan
kasih sayang Allah lalu dia menyangka bahawa Allah akan memberikan kasih sayang
itu, maka dia akan menerimanya. Jika dia menyangka bahawa Allah adalah Maha
Pengampun, lalu dia memohon ampun kepada Allah, maka Allah akan mengampuninya. Orang
yang mengharapkan kepada Allah, hanyalah orang mumin sahaja. Mereka tahu bahawa
mereka mempunyai Allah yang akan sentiasa bersama mereka. Walaupun sekali,
mereka tidak akan berputus asa daripada kasih sayang Allah.
(Aku bersamanya)
: Allah sentiasa bersama dengan orang beriman bagi menolongnya, mengukuhkannya
serta menjaganya.
(Sekiranya dia
mengingatiku di dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya di dalam diri-Ku)
: Sekiranya seseorang memuji Allah, merasai kebesaran Allah, menyatakan
kehebatan Allah di dalam jiwanya sahaja, maka Allah akan memberikan ganjaran pahala
secara sembunyi-sembunyi juga sehingga tidak ada yang tahu berapa banyak dan
besarnya ganjaran tersebut.
(Sekiranya dia
mengingati-Ku di dalam kelompok, maka Aku akan mengingatinya di dalam kelompok
yang lebih baik daripada mereka) : Sekiranya manusia mengingati Allah
dengan berzikir dan mempelajari ilmu yang cenderung kepada mendekatkan diri
kepada-Nya, atau bersama-sama kelompok manusia menghayati kebesaran Allah, maka
Allah berjanji akan mengingati kita bersama-sama dengan kelompok malaikat.
(Sekiranya dia mendekati-Ku
sejengkal, Aku akan dekatinya sehasta. Sekiranya dia mendekati-Ku sehasta, Aku
mendekatinya sedepa. Sekiranya dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan
mendatanginya dengan berlari kecil.) Perkataan yang dituturkan ini
adalah perumpamaan bagi menunjukkan cepatnya Allah menerima amalan dan doa
orang yang bersungguh-sungguh mendekati Allah dengan melakukan ketaatan serta
meninggalkan larangan-Nya.
WallahuA`lam.