Hadis Sahih: Jangan Remehkan Dosa Kecil
Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan
kepadaku oleh Abu al-Walid, diceritakan kepada kami oleh Mahdi, daripada
Ghailan, daripada Anas radhiyallahuanhu, beliau berkata:
«إِنَّكُمْ
لَتَعْمَلُونَ أَعْمَالًا، هِيَ أَدَقُّ فِي أَعْيُنِكُمْ مِنَ الشَّعَرِ، إِنْ
كُنَّا لَنَعُدُّهَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
مِنَ المُوبِقَاتِ» قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ: «يَعْنِي بِذَلِكَ المُهْلِكَاتِ»
Kalian melakukan sesuatu perbuatan (dosa) yang
dilihat pada mata kalian lebih nipis daripada rambut. Sedangkan kami dahulu pada
zaman Nabi SAW mengganggap ia sebahagian daripada perkara yang membinasakan.
Abu Abdullah (al-Bukhari) berkata: Iaitu dengan
perkara tersebut terjadinya Muhlikat.
(HR al-Bukhari di dalam Sahih
al-Bukhari, bilangan: 6492)
Ulasan Per-Kata
((أَدَقُّ فِي
أَعْيُنِكُمْ)) –
((yang dilihat pada mata kalian sangat nipis)): Ayat ini menunjukkan kepada
kepada celaan dan teguran yang sangat keras. Maksudnya, kamu melihat ia kecil
sedangkan ia adalah sesuatu yang berbahaya!
((المُهْلِكَاتِ)) – Maksudnya ialah dosa-dosa
besar.
Ulasan Umum
Ibnu Hajar ketika memberi ulasan hadis ini di
dalam Fathul Bari[1]
meriwayatkan kenyataan Ibnu Battal:
الْمُحَقَّرَاتُ إِذَا كَثُرَتْ صَارَتْ
كِبَارًا مَعَ الْإِصْرَارِ.
Sesuatu dosa yang dianggap remeh (dosa kecil) apabila
ia telah banyak, maka ia menjadi (dosa) besar sekiranya dilakukan berterusan.
Abu Ayyub al-Ansori pula memberi peringatan
yang meruntun jiwa:
إِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ الْحَسَنَةَ فَيَثِقُ بِهَا وَيَنْسَى
الْمُحَقَّرَاتِ فَيَلْقَى اللَّهَ وَقَدْ أَحَاطَتْ بِهِ وَإِنَّ الرَّجُلَ
لَيَعْمَلُ السَّيِّئَةَ فَلَا يَزَالُ مِنْهَا مُشْفِقًا حَتَّى يلقى الله آمنا
Seseorang yang melakukan perbuatan kebaikan lalu
terlalu yakin dengannya dan melupakan dosa-dosa kecil, maka dia akan bertemu
Allah dalam keadaan dia penuh dengan dosa berkenaan. Manakala seorang lelaki
yang melakukan perbuatan keburukan dalam keadaan sentiasa berasa bersalah, maka
dia akan bertemu Allah dalam keadaan aman.
Pengajaran
- Umat Islam sentiasa disuruh untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya sama ada ia kecil atau besar.
- Mengabaikan dosa-dosa kecil boleh menyebabkan terjerumus ke lembah kehinaan dan dosa besar.
- Setiap orang hendaklah menyesali diri dan terus bertaubat setelah melakukan perbuatan dosa.
- Jangan dilihat sebesar mana dosa tersebut tepai lihatlah kepada siapa kita melakukan dosa berkenaan.
- Para sahabat Nabi SAW sangat takut melakukan dosa.
- Setiap manusia tidak sempurna, justeru itu Islam menunjukkan jalan ke arah kesempurnaan yang diperlukan dalam kehidupan dunia dan akhirat.