Hadis Hasan: Solat & Istighfar Penghapus Dosa
Imam Ibnu Majah dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan
kepada kami oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah dan Nasr bin Ali, kedua-dua mereka
berkata: Diceritakan kepada kami oleh Waki`, beliau berkata: Diceritakan kepada
kami oleh Mis`ar dan Sufyan, daripada Usman bin al-Mughirah as-Saqafi, daripada
Ali bin Rabi`ah al-Waliy, daripada Asmak bin al-Hakam al-Fazary, daripada Ali
bin Abi Tholib, beliau berkata:
Apabila aku mendengar suatu hadis daripada
Rasulullah SAW, Allah sering memberi manfaat kepadaku daripada hadis tersebut.
Sekiranya orang lain menceritakan sesuatu hadis daripada Rasulullah, aku sering
memintanya untuk bersumpah. Apabila dia bersumpah, maka aku mempercayainya. Abu
Bakar pernah bercerita kepadaku – bahkan benarlah Abu Bakar, beliau berkata:
Rasulullah SAW bersabda:
«مَا مِنْ رَجُلٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ
الْوُضُوءَ ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ - وَقَالَ مِسْعَرٌ ثُمَّ يُصَلِّي -
وَيَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلَّا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ»
Tidak ada seorangpun yang melakukan dosa
kemudian dia berwuduk serta mengelokkan wuduknya lalu bersolat dua rakaat –
Mis`ar berkata: kemudian dia bersolat – dan memohon ampun kepada Allah
melainkan Allah akan mengampuninya.
(HR Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu
Majah, bilanga: 1395)
Kualiti Hadis:
Syeikh Syu`aib al-Arnaouth menyatakan: Hadis
ini hasan kerana Asmak bin al-Hakam al-Fazary. Ibnu Hibban mensahihkan hadis
ini, manakala Imam at-Tirmizi dan Ibnu `Adi menganggapnya Hasan.”