Hadis Hasan: Orang Bertaubat Seperti Tiada Dosa
Imam Ibnu Majah dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan
kepada kami oleh Ahmad bin Sa`id ad-Darimi, beliau berkata: diceritakan kepada
kami oleh Muhammad bin Abdullah ar-Raqasyi, beliau berkata: diceritakan kepada
kami oleh Wuhaib bin Khalid, beliau berkata: diceritakan kepada kami
oleh Ma`mar, daripada Abdul Karim, daripada Abi Ubaidah bin Abdullah, daripada
bapanya, beliau berkata: Rasulullah SAW berkata:
«التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ، كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ»
Seseorang yang bertaubat daripada sesuatu dosa
umpama orang yang tidak ada dosa.
(HR Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu
Majah, bilanga: 4250)
Kualiti Hadis:
Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari menghasankan
hadis ini. Kemudian diikuti oleh para ulama hadis yang lain. Sebab ia menjadi
hasan ialah:
❶ Perawi bernama
Wuhaib bin Khalid adalah seorang yang dipercayai (siqah) tetapi kenyataannya
sering berubah-ubah di akhir hayatnya. – Rujuk ulasan syeikh Syu`aib
al-Arnaouth di dalam masalah ini.
❷ Abi Ubaidillah
bin Abdullah tidak mendegar hadis ini daripada bapanya sehingga menjadikan sanad
hadis ini terpotong.
❸ Sekalipun
asalnya hadis ini dhoif – dhoif yang tidak kritikal -, tetapi ia dikuatkan dengan
pelbagai hadis dhoif yang lain yang mampu mengangkatnya kepada darjat Hasan. Rujuk
kitab Syu`abul Iman (6640 dan 6780), Hilyatul Awliya’ (13/398) dan Mu`jam
al-Kabir (775).
Sebahagian ulama mensahihkan hadis ini seperti
Syeikh bin Baaz di dalam Majmu` al-Fatawa (10/314).
Ulasan Umum
Seseorang hamba yang sedar bahawa dirinya telah melakukan dosa kemudian
dia segera bertaubat dengan sebenar-benarnya, maka Allah Taala sentiasa
bersedia menerima taubatnya serta membersihkan diri orang tersebut. Sehingga menjadikan
jiwanya seperti orang yang tidak pernah melakukan dosa.
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah menyebutkan di dalam kitabnya Majmu`
al-Fatawa (33/35): “Di dalam syariat Nabi kita, sesiapa yang bertaubat maka ia
akan diberi pelepasan. Ini berbeza dengan syariat nabo-nabi terdahulu, umat
mereka yang bertaubat dikenakan hukuman terlebih dahulu seperti membunuh diri
dan sebagainya.”
Imam Ibnu Qayyim memberi penyataan yang sangat baik di dalam I`lamul
Muwaqqi`in (3/115): “Allah Taala menjadikan orang yang bertaubat seumpama orang
yang tidak pernah melakukkan dosa. Sesiapa yang bertemu Allah dalam keadaan
benar-benar bertaubat, maka Allah tidak akan menghukumnya. Demikian juga di
dlaam hukum dunia, apabila seseorang bertaubat sebelum isu tersebut diangkat
kepada pemerintah, maka gugurlah hukuman terhadapnya berdasarkan pendapat yang
paling benar daripada dua pendapat ulamak. Tetapi apabila ia telah diangkat
kepada pemerintah, maka hukuman tidak gugur disebabkan taubatnya bertujuan
tidak memberikan perlindungan sehingga tidak dijalankan hukuman Allah.”
Tuan-tuan dan Puan-puan pembaca, ketahuilah bahawa setiap taubat yang
menepati syarat-syaratnya tidak akan ditolak oleh Allah. Allah telah berfirman
di dalam surah asy-Syura ayat 25:
وَهُوَ
الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ
Dialah (Allah) yang menerima taubat daripada
hamba-hamba-Nya.
Pengajaran
❶Allah adalah Tuhan yang sangat mengasihi hamba-hamba-Nya. Dia sentiasa
memberikan peluang dan tidak memberikan kesusahan. Ini menunjukkan sifat rahmat
Allah.
❷ Orang yang sengaja melakukan dosa, kemudian datang bertemu kita lalu
menyatakan taubat, maka kita tidak perlu melaporkan perkara tersebut kepada
pemerintah seperti polis. Dia diampunkan oleh Allah dan gugur daripada hukum. Tetapi,
apabila polis mendapat laporan, maka beliau hendaklah menjalankan
tanggungjawabnya tanpa merujuk isu taubat atau tidak.
Wallahua`lam.