Hadis Sahih: Matahari dan Bulan Tidak Gerhana Kerana Kematian Seseorang
Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari (256H)
dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan kepada kami Abdullah bin Muhammad, beliau
berkata: diceritakan kepada kami oleh Hashim bin al-Qasim, belia berkata:
Diceritakan kepada kami oleh Syaiban Abu Mu`awiyah, daripada Ziyad bi `Ilaqah,
daripada al-Mughirah bin Syu`bah, beliau berkata:
كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ مَاتَ إِبْرَاهِيمُ، فَقَالَ النَّاسُ: كَسَفَتِ الشَّمْسُ لِمَوْتِ إِبْرَاهِيمَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا، وَادْعُوا اللَّهَ»
Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah SAW pada hari kematian Ibrahim. Lalu orang ramai berkata: "Matahari telah gerhana kerana kematian Ibrahim". Lantas Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak akan menjadi gerhana kerana kematian seseorang ataupun kerana hidupnya seseorang. Apabila kamu melihat (peristiwa gerhana) maka bersolat serta berdoalah kepada Allah.”
(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari,
bilangan 1043)
Info
Dr. Musthofa al-Bugha menyatakan: Nama Ibrahim
yang disebutkan di dalam hadis ini dirujuk kepada anak Nabi (Muhammad) SAW
daripada Mariyah al-Qibtiyah. Ibrahim meninggal ketika berumur 18 bulan.
Pengajaran
- Hadis ini mengajar kita bahawa bencana alam, keadaan cuaca tidak dipengaruhi oleh hidup atau matinya seseorang manusia. Maka tidak benar kenyataan “Hujan turun kerana kematian ulama sekian-sekian”, “Gerhana berlaku kerana dosa orang sekian-sekian”, “Suburnya tanaman ini kerana wali sekian-sekian berada di sini.”
- Agama kita mahu mengajar bahawa sekalipun seseorang tokoh itu mempunyai sumbangan atau nilai peribadi yang tinggi, layanan terhadap mereka tidak boleh keterlaluan.
- Para ulama menggunakan satu kaedah penting dalam menilai sesuatu perkara. Kata mereka: “Sesuatu itu dinilai sebagai baik apabila agama menganggapnya sebagai baik. Sesuatu itu dinilai buruk apabila agama menilainya sebagai buruk.”
- Islam mahu menukar cara berfikir masyarakat. Apabila berlaku bencana atau perkara yang pelik, maka jangan terus membuat spekulasi, tetapi hendaklah merujuk bagaimana pandangan agama terhadapnya. Mendahulukan pandangan agama adalah lebih baik di dalam semua keadaan.
- Apabila berlaku gerhana matahari atau bulan, kita disunatkan untuk solat gerhana dan berdoa.
WallahuA`lam.