Hadis Sahih: Cemburu Aishah kepada Khadijah
Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari (256H)
dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan kepada kami oleh Sa`id bin `Ufair,
diceritakan kepada kami oleh al-Lais, beliau berkata: Hisham menulis kepadaku
daripada bapanya, daripada `Aishah radhiyallahuanha, beliau berkata:
«مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ، مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ، هَلَكَتْ قَبْلَ أَنْ يَتَزَوَّجَنِي،
لِمَا كُنْتُ أَسْمَعُهُ يَذْكُرُهَا، وَأَمَرَهُ اللَّهُ أَنْ يُبَشِّرَهَا
بِبَيْتٍ مِنْ قَصَبٍ، وَإِنْ كَانَ لَيَذْبَحُ الشَّاةَ فَيُهْدِي فِي
خَلاَئِلِهَا مِنْهَا مَا يَسَعُهُنَّ»
Aku tidak merasa cemburu kepada seorang pun
isteri Nabi (Muhammad) SAW sepertimana aku cemburu kepada Khadijah. Wanita itu meninggal
dunia sebelum beliau (Rasulullah) mengahwiniku. Ia berikutan aku sering
mendengar Rasulullah menyebut-nyebutkan tentang wanita itu, Allah telah
memerintahkan supaya dia disampaikan berita gembira berkenaan (ganjaran) sebuah
rumah (di syurga) daripada Qasab (buluh), apabila Rasululllah menyembelih
kambing, maka akan dihadiahkan kepada rakan-rakan Khadijah yang akan
mengenyangkan mereka.
(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari,
bilangan 3816)
Pengajaran
- Cemburu adalah sifat yang wajar ada di dalam jiwa wanita yang berpoligami. Baik atau buruknya cemburu ditentukan dengan tindakan yang dibuat akibat cemburu. Jika perbuatan itu halal, maka ia harus. Tetapi jika perbuatan itu haram, maka ia haram.
- Menyebut-nyebut kelebihan isteri yang baik-baik di hadapan isteri yang lain adalah sesuatu yang harus. Tetapi ia hendaklah dilakukan tanpa niat menyakiti isteri tersebut.
- Menghormati dan menyayangi seseorang boleh digambarkan dengan pelbagai cara. Antara kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah ialah baginda menghormati dan mengambil berat urusan rakan-rakan Khadijah.
- Cinta adalah sesuatu yang perlu dibuktikan. Ia tidak boleh sekadar disimpan dan dipendamkan semata-mata.