Hadis Sahih: Orang yang paling panjang tangannya.
Imam al-Hakim an-Naisaburi (405H) dengan
sanadnya meriwayatkan: Diberitakan kepadaku oleh Abdullah bin Ishaq bin Ibrahim
al-Khurasani al-`Adl, di Baghdad. Diceritakan kepada kami oleh Ibrahim bin
al-Haisam al-Baladi, diceritakan kepadaku oleh Ibrahim bin Abi Uwais al-Madani,
diceritakan kepadaku oleh bapaku, daripada Yahya bin Sa`id, daripada `Amrah,
daripada Aishah radhiyallahuanha, beliau berkata:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
لِأَزْوَاجِهِ: «أَسْرَعُكُنَّ لُحُوقًا بِي
أَطْوَلُكُنَّ يَدًا» قَالَتْ عَائِشَةُ: فَكُنَّا إِذَا اجْتَمَعْنَا فِي بَيْتِ
إِحْدَانَا بَعْدَ وَفَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَمُدُّ أَيْدِيَنَا فِي
الْجِدَارِ نَتَطَاوَلُ، فَلَمْ نَزَلْ نَفْعَلُ ذَلِكَ
حَتَّى تُوُفِّيَتْ زَيْنَبُ بِنْتُ جَحْشٍ زَوْجُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَتِ امْرَأَةً قَصِيرَةً وَلَمْ تَكُنْ أَطْوَلَنَا،
فَعَرَفْنَا حِينَئِذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا
أَرَادَ بِطُولِ الْيَدِ الصَّدَقَةَ قَالَ: «وَكَانَتْ زَيْنَبُ امْرَأَةٌ
صَنَّاعَةَ الْيَدِ فَكَانَتْ تَدْبُغُ وَتَخْرُزُ وَتَصَدَّقُ فِي سَبِيلِ
اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ» هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ عَلَى شَرْطِ مُسْلِمٍ وَلَمْ
يُخَرِّجَاهُ "
Rasulullah berkata kepada para isterinya: “Orang
yang paling dulu menyusulku daripada kalangan kamu ialah orang yang paling
panjang tangannya.” Aishah menyambung: Setelah Rasulullah wafat, apabila kami
berkumpul di ruamah salah seorang daripada kalagan kami, kami akan saling mengukur
tangan kami di dinding. Kami sering lakukan perkara tersebut sehinggalah Zainab
binti Jahsy, isteri Rasulullah SAW meninggal dunia. Beliau adalah seorang yang
(mempunyai tangan) pendek, bukanlah orang yang paling panjang tangan di
kalangan kami. Lalu kami sedar bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi SAW ialah
sedekah.
Perawi (Sa`id bin `Amrah) berkata: Zainab ialah
seorang wanita yang rajin tangan. Dia membersihkan kulit, menjahit, dan (banyak)
bersedekah di jalan Allah Azza wa Jalla.
Imam al-Hakim menyatakan: Hadis ini Sahih
menurut syarat Muslim (di dalam kitab Sahihnya) tetapi beliau tidak
merekodkannya.
(HR al-Hakim, di dalam al-Mustadrak, bilangan
6776)
Kualiti Hadis
Hadis ini Sahih menurut al-Hakim serta
dipersetujui oleh az-Zahabi.
Pengajaran
- Nabi SAW meninggalkan wasiat daripada sudut kata-kata yang sentiasa diingat-ingat.
- Hadis ini menunjukkan kelebihan isteri Rasulullah Zainab binti Jahsy yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya.
- Rasulullah tidak mengetahui perkara ghaib melainkan apa yang diberitahu oleh Allah SWT sahaja. Nabi tidak tahu bahawa Zainab akan meninggal selepas baginda, tetapi wahyu Allah menjelaskan perkara tersebut.
- Para isteri Rasulullah berusaha mengkaji kebenaran kata-kata Nabi. Apabila mereka telah membuat sangkaan, kemudian kebenaran telah mendahului mereka, maka mereka menerimanya dengan baik.
- Bersedekah dan gigih berusaha dalam kehidupan adalah amalan yang dipandang tinggi oleh agama.
WallahuA`lam.