Hadis Sahih: Tiada Galakkan Khusus Berpuasa di Bulan Rejab
Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan:Diceritakan
kepada kami oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah, diceritakan kepada kami oleh Abdullah
bin Numair, (ح) dan diceritakan kepada kami
oleh Ibnu Numair, diceritakan kepada kami oleh bapaku, diceritakan kepada kami
oleh Usman bin Hakim al-Anshori, beliau berkata:
سَأَلْتُ سَعِيدَ بْنَ جُبَيْرٍ، عَنْ صَوْمِ رَجَبٍ وَنَحْنُ يَوْمَئِذٍ فِي
رَجَبٍ فَقَالَ: سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، يَقُولُ: "
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ: لَا
يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ: لَا يَصُومُ "
Aku bertanya Sa`id bin Jubair berkenaan puasa
di bulan Rejab sedangkan ketika itu kami berada di bulan Rejab. Lalu beliau
berkata: Aku mendengar Ibnu Abbas radhiyallahuanhuma berkata: “Bahawa
Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami berkata: Baginda tidak pernah
meninggalkannya. Kemudian baginda meninggalkannya sehingga kami berkata:
Baginda tidak kelihatan berpuasa.”
(HR Muslim, di dalam Sahih Muslim,
bilangan: 1157)
Penjelasan Imam an-Nawawi:
Imam Muhyiddin Yahya bin Syaraf an-Nawawi asy-Syafii
(W: 676H) berkata ketika memberi ulasan terhadap hadis ini:
“Secara zahirnya, apa yang dikehendaki oleh
Sa`id bin Jubair dengan pendalilan ini ialah: Tiada larangan (berpuasa di bulan
Rejab) serta tiada juga galakkan (an-Nadb/sunat) secara khusus padanya. Tetapi hukumnya
adalah seperti mana hukum berpuasa pada bulan-bulan yang lain. Tidak ada
sebarang larangan atau galakkan puasa khusus bagi bulan Rejab, tetapi secara
asasnya wujud galakkan (an-Nadb/sunat) berpuasa (secara umum). Di dalam rekod
Sunan Abu Daud disebutkan bahawa Rasulullah menggalakkan berpuasa di
bulan-bulan haram, dan Rejab adalah salah satu daripadanya.
Wallahua`lam.”
(Rujuk: Syarah Sahih Muslim oleh Imam
an-Nawawi asy-Syafii, Jilid 8, muka surat 38)
Pengajaran:
- Nabi SAW pernah berpuasa dan tidak berpuasa di bulan Rejab.
- Nabi SAW tidak berpuasa penuh pada bulan Rejab.
- Tiada larangan atau galakkan berpuasa di bulan Rejab secara khusus.
- Secara umumnya, digalakkan berpuasa di bulan-bulan Haram iaitu Rejab, Zukaedah, Zulhijjah, dan Muharram.
- Niat bagi orang yang berpuasa di bulan Rejab ialah niat puasa sunat di bulan-bulan Haram ataupun niat bagi puasa sunat di bulan-bulan lain.
- Bulan Rejab ialah bulan persediaan menghadapi bulan Ramadhan, justeru itu perbanyakkanlah dengan amal ibadah.
- Agama tidak direka-reka, tetapi ia diambil daripada sumbernya menurut penjelasan para ulama yang dipercayai atas kapasiti ilmu dan amanah.