Hadis Sahih: Aishah Isteri Rasulullah di Dunia dan Akhirat.
Imam
Abu Isa at-Tirmizi (279H) dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan kepada kami
oleh `Abd bin Humaid, beliau berkata: Diberitakan kepada kami oleh Abdul Razak,
daripada Abdullah bin Amru bin `Alqamah al-Makki, daripada Ibnu Abi Husain,
daripada Ibnu Abi Mulaikah, daripada Aishah:
أَنَّ جِبْرِيلَ،
جَاءَ بِصُورَتِهَا فِي خِرْقَةِ حَرِيرٍ خَضْرَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «هَذِهِ زَوْجَتُكَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ»
Jibril
datang membawa gambarnya pada sepotong sutera hijau kepada Nabi Muhammad, lalu
berkata. “Ini ialah isterimu di dunia dan di akhirat.”
Imam
at-Tirmizi memberi ulasan: Hadis ini Hasan Ghorib. Tidak diketahui hadis ini melainkan daripada riwayat
hadis Abdullah bin Amru bin `Alqamah. Abdul Rahman bin Mahdi juga meriwayatkan
hadis ini. Hadis daripada riwayat Abdullah bin Amru bin `Alqamah dengan sanad
ini adalah mursal. Tidak disebutkan bahawa ia diambil daripada Aishah. Diriwayatkan juga oleh Abu Usamah daripada
Hisham bin `Urwah daripada bapanya daripada Aishah daripada Nabi (Muhammad) SAW
sesuatu daripada hadis ini.
(HR
at-Tirmizi, di dalam Sunan at-Tirmizi, bilangan 3880)
Kualiti Hadis
Syeikh Nasiruddin Al-Albani
(1420H) menyatakan bahawa hadis ini Sahih.
Pengajaran:
- Hadis ini menyatakan kemuliaan isteri Rasulullah SAW yang bernama Aishah. Beliau adalah tokoh umat Islam yang dijadikan panduan di dalam menuntut ilmu-ilmu agama. Beliau dipandang tinggi kerana kemuliaan dan keluasan ilmunya yang diambil terus daripada Nabi Muhammad SAW.
- Allah SWT telah memuliakan Aishah, maka kita sebagai umat Islam hendakalh memuliakan juga beliau atas had-had yang bertepatan syarak.
- Hadis ini tidak membawa maksud bahawa isteri-isteri baginda yang lain bukanlah isteri baginda di Syurga. Tetapi hadis ini mahu meninggikan darjat Aishah dengan menguatkan pengiktirafan terhadap beliau.