Hadis Sahih: Tidur Berselimut 1 Kain dengan Isteri
Imam Abu Daud (202-275H) dengan
sanadnya merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh Musaddad, diceritakan kepada
kami oleh Yahya, daripada Jabir bin Subh, beliau berkata aku mendengar Khilas
al-Hajari berkata: Aku mendengar Aishah berkata:
" كُنْتُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
نَبِيتُ فِي الشِّعَارِ الْوَاحِدِ، وَأَنَا حَائِضٌ طَامِثٌ، فَإِنْ أَصَابَهُ مِنِّي
شَيْءٌ غَسَلَ مَكَانَهُ وَلَمْ يَعْدُهُ، ثُمَّ صَلَّى فِيهِ، وَإِنْ أَصَابَ - تَعْنِي:
ثَوْبَهُ - مِنْهُ شَيْءٌ غَسَلَ مَكَانَهُ وَلَمْ يَعْدُهُ، ثُمَّ صَلَّى فِيهِ
"
Aku dan Rasulullah SAW telah tidur
di dalam satu kain. Ketika itu aku sedang kemuncak berhaid. Apabila sesuatu daripadaku (iaitu darah haid) terkena pada (kain) nya, maka baginda membasuh tempat
tersebut dan tidak lebih dari itu, kemudian bersolat di situ. Sekiranya sesuatu
itu terkena – maksudnya terkena kainnya – maka dia akan membasuh tempat tersebut
dan tidak lebih dari itu. Kemudian dia bersolat di atasnya.
(HR Abu Daud
di dalam Sunan Abu Daud, bilangan 269)
► Kualiti Hadis
Syeikh Syuaib al-Arnaouth menyatakan Isnad hadis ini sahih dan disahihkan juga oleh al-Hafiz al-Munziri di dalam Mukhtasar as-Sunan.
►
Pengajaran
- ❶ Hadis ini menunjukkan keharusan bersolat pada kain yang telah dipakai dengan syarat diyakini kebersihannya.
- ❷ Rasulullah mengajar kita untuk melayani pasangan dengan cara yang terbaik dalam apa jua keadaan.
- ❸ Menjadi sunah apabila kita mencari jalan terbaik untuk merapatkan hubungan antara suami dan isteri.
- ❹ Islam mahu mengajar umatnya bahawa wanita yang berhaid bukanlah najis dan perlu dijauhi, bahkan mereka hendaklah disantuni kerana ketika itu emosi mereka berubah-ubah.
- ❺ Hadis ini juga menjadi hujah yang kuat bagi menolak rasa was-was yang ada pada kebanyakkan orang. Orang yang berwas-was tidak mahu menggunakan pakaian yang telah dipakai kerana dibimbangi dengan was-was bahawa pakaiannya telah terkena najis. Ini berlaku kepada orang yang mahu bersolat lalu menukar kain kerana was-was terkena najis. Was-was adalah perangai buruk yang dicegah di dalam agama.
- ❻ Hadis ini juga menjelaskan bahawa Nabi SAW hanya membasuh tempat yang terkena darah haid sahaja dan membiarkan tempat lain. Ini menjadi bukti bahawa orang was-was yang membasuh keseluruhan kain dengan sangkaan tempat lain "mungkin" juga akan terkena darah adalah bukan daripada ajaran Islam yang tulin.
#Wallahua`lam.