Home » Posts filed under Isteri-Isteri Rasulullah
Showing posts with label Isteri-Isteri Rasulullah. Show all posts
Hadis Sahih:Nabi Cium Isterinya Kemudian Solat
Ibnu Majah dengan sanadnya
merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh Abu Bakar bin Abi Syaibah dan Ali bin
Muhammad, kedua-dua mereka berkata: Diceritakan kepada kami oleh Waki`, beliau
berkata: diceritakan kepada kami oleh al-A`masy, daripada Habib bin Abi Sabit, daripada `Urwah bin
az-Zubair, daripada Aishah:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ: «قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ، وَلَمْ يَتَوَضَّأْ»
قُلْتُ: مَا هِيَ إِلَّا أَنْتِ «فَضَحِكَتْ»
Rasulullah SAW mencium sebahagian
daripada isteri baginda, kemudian keluar untuk mendirikan solat, dan tidak
(mengulang) wuduk. Lalu aku berkata: Tidaklah orang itu melainkan kamu. Lantas
dia (Aishah) pun ketawa.
(HR Ibnu Majah di dalam Sunan Ibnu
Majah, bilangan 502)
►Kualiti Hadis
Ulama berbeza pendapat dalam
menyatakan status kualiti hadis ini:
❶ Hadis ini sahih dan kuat untuk dijadikan hujah.
Syeikh Fuad `Abdul Baqi
menyebutkan: Hadis ini telah diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang ada
padanya Irsal (atau mursal). Irsal tidak memudaratkan dalam hujah di sisi
Jumhur. Telah terdapat isnad yang bersambung yang disebutkan oleh
ad-Daruquthni. Al-Bazzar pula menyatakan dengan Isnad yang hasan. Penulis (Ibnu
Majah) meriwayatkan dengan dua sanad. Maka hadis ini menjadi hujah dengan
sepakat.
Syeikh Nasiruddin al-Albani
pula berkata: Hadis ini sahih.
Syeikh Syu`ib al-Arnaout
di dalam ulasan pada Musnad Imam Ahmad bilangan 25766 pula menyatakan: Isnad
hadis ini Sahih. Para perawi hadisnya dipercayai dan menjadi perawi hadis-hadis
Syaikhain (Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab Sahih mereka berdua.)
❷ Hadis ini Dhoif dan tidak boleh dijadikan hujah.
Ulama yang menyatakan hadis ini Dhoif menjadikan
kecacatan Habib bin Abi Sabit sebagai hujah. Mereka mendakwa bahawa Habib bin
Abi Sabit tidak mendengar hadis ini daripada `Urwah.
Pendapat ini adalah pendapat yang dipelopori oleh Imam
al-Bukhari, Imam at-Tirmizi, dan Ibnu Hajar al-`Asqalani.
►Hukum Mencium Isteri kemudian Solat Tanpa Memperbaharui Wuduk
Imam at-Tirmizi di dalam Sunan at-Tirmizi, bilangan 86
menyatakan: Hadis seperti ini telah diriwayatkan oleh ahli ilmu daripada
kalangan para sahabat Nabi SAW dan Tabiin. Ia juga adalah pendapat Sufyan
as-Sauri dan Ahli Kuffah. Mereka menyatakan:
Mencium (isteri) tidak membatalkan wuduk.
Manakala Malik bin Anas, al-Auza`ir, asy-Syafii, Ahmad
dan Ishaq pula menyatakan mencium isteri membatalkan wuduk. Ia juga
adalah pendapat bukan seorang daripada kalangan ahli ilmu sahaja dalam kalangan
para sahabat Nabi dan Tabiin.
#Wallahua`lam
Hadis Sahih: Membonceng Isteri
Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari
(256H) dengan sanadnya meriwayatkan: Diceritakan kepada kami oleh al-Hasan bin
Muhammad bin Sabbah, diceritakan kepada kami oleh Yahya bin `Abbad, diceritakan
kepada kami oleh Syu`bah, diberitakan kepada kami oleh Yahya bin Abi Ishaq,
beliau berkata: Aku mendengar Anas bin Malik berkata:
أَقْبَلْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خَيْبَرَ، وَإِنِّي لَرَدِيفُ أَبِي طَلْحَةَ وَهُوَ
يَسِيرُ، وَبَعْضُ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَدِيفُ
رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ عَثَرَتِ النَّاقَةُ، فَقُلْتُ:
المَرْأَةَ، فَنَزَلْتُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
«إِنَّهَا أُمُّكُمْ» فَشَدَدْتُ الرَّحْلَ وَرَكِبَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا دَنَا، أَوْ: رَأَى المَدِينَةَ قَالَ: «آيِبُونَ تَائِبُونَ
عَابِدُونَ، لِرَبِّنَا حَامِدُونَ »
Kami pulang bersama Rasulullah SAW
daripada (perang) Khaibar. Aku menunggang (kenderaan) Abu Thalhah, manakala dia
berjalan. Sebahagian isteri Rasulullah pula
menunggang kenderaan Rasulullah. Tiba-tiba dia (isteri Rasulullah)
terjatuh daripada untanya. Lalu aku berkata: Wanita! Aku pun terus turun. Lantas
Rasulullah SAW menegur: Beliau ialah ibu kamu. Aku pun mengetatkan kenderaan
tersebut, kemudian Rasulullah menunggangnya. Apabila kami telah dekat atau Madinah
telah kelihatan, baginda berkata: Kami kembali dengan bertaubat, beribadah dan
bagi Tuhan kami memuji.
(HR al-Bukhari di dalam Sahih
al-Bukhari, bilangan 5968)
►
Pengajaran
- ❶ Hadis ini menunjukkan wanita boleh menunggang atau memandu kenderaan.
- ❷Rasulullah mengajar kita untuk memanggil isteri-isteri baginda dengan gelaran “Ummul Mukminin” – “Ibu orang-orang beriman”.
- ❸ Sunah berdoa ketika pulang daripada tempat yang jauh. Disunahkan juga berdoa seperti doa Nabi SAW.
Hadis Sahih: Tidur Berselimut 1 Kain dengan Isteri
Imam Abu Daud (202-275H) dengan
sanadnya merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh Musaddad, diceritakan kepada
kami oleh Yahya, daripada Jabir bin Subh, beliau berkata aku mendengar Khilas
al-Hajari berkata: Aku mendengar Aishah berkata:
" كُنْتُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
نَبِيتُ فِي الشِّعَارِ الْوَاحِدِ، وَأَنَا حَائِضٌ طَامِثٌ، فَإِنْ أَصَابَهُ مِنِّي
شَيْءٌ غَسَلَ مَكَانَهُ وَلَمْ يَعْدُهُ، ثُمَّ صَلَّى فِيهِ، وَإِنْ أَصَابَ - تَعْنِي:
ثَوْبَهُ - مِنْهُ شَيْءٌ غَسَلَ مَكَانَهُ وَلَمْ يَعْدُهُ، ثُمَّ صَلَّى فِيهِ
"
Aku dan Rasulullah SAW telah tidur
di dalam satu kain. Ketika itu aku sedang kemuncak berhaid. Apabila sesuatu daripadaku (iaitu darah haid) terkena pada (kain) nya, maka baginda membasuh tempat
tersebut dan tidak lebih dari itu, kemudian bersolat di situ. Sekiranya sesuatu
itu terkena – maksudnya terkena kainnya – maka dia akan membasuh tempat tersebut
dan tidak lebih dari itu. Kemudian dia bersolat di atasnya.
(HR Abu Daud
di dalam Sunan Abu Daud, bilangan 269)
► Kualiti Hadis
Syeikh Syuaib al-Arnaouth menyatakan Isnad hadis ini sahih dan disahihkan juga oleh al-Hafiz al-Munziri di dalam Mukhtasar as-Sunan.
►
Pengajaran
- ❶ Hadis ini menunjukkan keharusan bersolat pada kain yang telah dipakai dengan syarat diyakini kebersihannya.
- ❷ Rasulullah mengajar kita untuk melayani pasangan dengan cara yang terbaik dalam apa jua keadaan.
- ❸ Menjadi sunah apabila kita mencari jalan terbaik untuk merapatkan hubungan antara suami dan isteri.
- ❹ Islam mahu mengajar umatnya bahawa wanita yang berhaid bukanlah najis dan perlu dijauhi, bahkan mereka hendaklah disantuni kerana ketika itu emosi mereka berubah-ubah.
- ❺ Hadis ini juga menjadi hujah yang kuat bagi menolak rasa was-was yang ada pada kebanyakkan orang. Orang yang berwas-was tidak mahu menggunakan pakaian yang telah dipakai kerana dibimbangi dengan was-was bahawa pakaiannya telah terkena najis. Ini berlaku kepada orang yang mahu bersolat lalu menukar kain kerana was-was terkena najis. Was-was adalah perangai buruk yang dicegah di dalam agama.
- ❻ Hadis ini juga menjelaskan bahawa Nabi SAW hanya membasuh tempat yang terkena darah haid sahaja dan membiarkan tempat lain. Ini menjadi bukti bahawa orang was-was yang membasuh keseluruhan kain dengan sangkaan tempat lain "mungkin" juga akan terkena darah adalah bukan daripada ajaran Islam yang tulin.
#Wallahua`lam.
Hadis Sahih: Bersandar di Pangkuan Isteri dan Membaca al-Quran
Imam al-Bukhari dengan sanadnya merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh Abu Nu`aim al-Fadhl bin Dukain, beliau mendengar daripada Zuhair daripada Mansur bin Safiyyah, ibunya telah menceritakan kepadanya bahawa Aishah menceritakan kepadanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كَانَ
يَتَّكِئُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ، ثُمَّ يَقْرَأُ القُرْآنَ»
Nabi
(Muhammad) SAW pernah menyandar di pangkuanku sedangkan ketika itu aku berhaid.
Kemudian baginda membaca al-Quran.
(HR al-Bukhari di dalam Sahih
al-Bukhari, bilangan 297)
Di dalam
lafaz yang lain,
Imam al-Bukhari dengan sanadnya merekodkan: Diceritakan kepada kami oleh
Qabisah, daripada Sufyan, daripada Mansur, daripada ibunya, daripada Aishah,
beliau berkata:
«كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ
القُرْآنَ وَرَأْسُهُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ»
Nabi
(Muhammad) SAW membaca al-Quran dalam keadaan kepalanya di pangkuanku,
sedangkan ketika itu aku berhaid.
(HR al-Bukhari di dalam Sahih
al-Bukhari, bilangan: 7549)
► Maksud Pangkuan
Syeikh
Musthofa al-Bugho menjelaskan kalimah pangkuan
((حَجْرِ))bermaksud
kedudukan antara pinggang (الخاصرة) hingga rusuk belakang (الضلع الخلف).
► Pengajaran
- Hadis ini menunjukkan wanita berhaid tidak najis. Mereka tidak boleh bersolat dan perkara-perkara lain yang tertentu kerana itu adalah perintah Allah.
- Sunah bagi suami untuk bersandar di pangkuan isteri dalam apa jua keadaan sama ada ketika berhaid atau tidak.
- Bermesra-mesra antara suami isteri ketika waktu haid adalah harus selagimana tidak terjerumus kepada persetubuhan.
- Hadis ini menunjukkan keharusan berzikir atau membaca al-Quran sambil berbaring secara umum.
#Wallahua`lam.
Subscribe to:
Posts
(
Atom
)