Home » Posts filed under Hadis Palsu
Showing posts with label Hadis Palsu. Show all posts
Hadis Palsu: Kelebihan Solat Memakai Serban
Dikatakan hadis ini diambil daripada Jabir bin Abdullah, bahawa Rasulullah SAW berkata:
رَكْعَتَانِ بِعِمامَةٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ
رَكْعَةً بِلا عِمامَةٍ
Dua rakaat solat
dengan memakai serban adalah lebih baik daripada 70 rakaat tanpa serban.
Siapa yang
merekodkan hadis ini?
Hadis ini direkodkan
oleh ad-Dailami di dalam “Musnad al-Firdaus” (2/265, bilangan: 3233). Abu
Nu`aim menyebutkannya di dalam al-Jami` al-Kabir (bilangan: 14441)
Apa ulasan para
ulama?
1. Al-Munawi
berkata:
“Di dalam
periwayatannya terdapat Toriq bin Abdul Rahman yang disebutkan oleh Az-Zahabi
di dalam “Perawi-perawi Lemah”. Kemudian beliau berkata: An-Nasaie berkata:
Tidak kuat. Daripada Muhammad bin `Ajlan: Al-Bukhari menyebutkannya di dalam “Perawi-perawi
Lemah”. Al-Hakim pula berkata: Buruk hafalannya.”
(Rujuk:
Faidhul Qadir: 4/49)
2. As-Sakhawi:
Tidak sabit. (Rujuk: Maqasid Hasanah, 406)
3. Al-Albani: Palsu
(Rujuk: Silsilah ad-Dhoifah, 128)
4. Ben Baaz: Hadis
ini tiada asa;. Bahkan palsu dan pendustaan terhadap Nabi SAW.
5. Ibnu Uthaimin: “Hadis
ini palsu dan suatu pendustaan terhadap nama Rasulullah SAW. Serban adalah
seumpama pakaian lain yang mengikut adat setempat. Sekiranya kamu berada di
dalam kawasan orang memakai serban, maka pakailah. Sekiranyan kamu berada di
dalam kawasan orang yang tidak memakai serban tetapi mereka memakai ghutrah
(kain penutup kepala), atau tanpa memakai apa-apa yang menutup kepala, maka
lakukanlah sepertimana mereka lakukan.”
(Rujuk: Fatawa Nur
`Ala Darbi)
Kesimpulan
Justeru itu, hadis ini terlalu lemah untuk dibuat hujah. Tidak boleh
menyebarkannya melainkan dengan tujuan menyatakan kelemahannya bagi melarang
orang berhujah dengannya.
WallahuA`lam
Hadis Dhoif: Safarjal (Jambu Batu)
Penyoal: Tidak diketahui
Asatizah: Ustaz Nasaie Hanaffie
Soalan:
Salam Ust Nasaie,
Bolehkah Dr tolong takhrijkan hadis
di bawah:
وقد روى أن قوما شكوا إلى نبيهم قبح أولادهم فأوحى الله تعالى
إليه مرهم أن يطعموا نساءهم الحبلى السفرجل فانه يحسن الولد ويفعل ذلك في الشهر الثالث
والرابع إذ فيه يصور الله تعالى الولد
Sungguh telah diriwayatkan pula,
bahwa suatu kaum mengadu kepada para Nabi mereka, perihal anak – anak mereka
yang buruk rupawan , kemudian Allah menurunkan wahyu : “perintahkan kepada
mereka untuk memberi makan istri-istri mereka yang hamil, dengan buah
safarjal’. Karena hal itu akan menyebabkan anak-anak terlahir dengan “ wajah
rupawan” dan hendaknya dilakukan pada bulan kehamilan ketiga dan ke empat. Sebab
pada saat itu Allah sedang menggambar rupa si anak.
Jawapan:
Waalaikumussalam
warahmatullahi wabarakaatuh.
Hadis di atas tiada sumbernya daripada
kitab ahli sunnah. Kebanyakkan hadis berkaitan safarjal adalah terlalu dhaif,
bahkan ada yang palsu. Saya terjumpa hadis safarjal akan mengelokkan rupa paras
anak dalam web syiah.
Tidak harus untuk menyebarkan hadis
ini.
Wallahualam
Tarikh: 3/8/2015
Hadis Palsu: Kelebihan Puasa Khusus Nisfu Sya`ban
Baru-baru
ini tersebar di media sosial hadis galakan puasa Nisfu Syaaban secara khusus
dengan lafaz berikut:
إذا كانت ليلة النصف من شعبان فقوموا ليلها
وصوموا نهارها...
Apabila datangnya malam Nisfu Syaaban maka hidupkanlah malamnya dan
puasalah pada siang harinya...
Justeru orang ramai mula bertanya saya tentang statusnya kerana ia dibaca oleh seorang yang bergelar syeikh. Sebelum saya jawab status hadis ini, saya ingin tegaskan beberapa perkara:
1. Perbincangan ini adalah perbincangan ilmiah. Seeloknya ia tidak didasari dengan emosi dan kebencian. Bahkan ia mesti didasari dengan sikap homat dan kasih sayang kerana masing-masing mencari kebenaran.
2. Saya tidak akan membincangkan soal kelebihan malam Nisfu Syaaban kerana ada hadis lain yang menghuraikan kelebihan malam tersebut. Saya hanya ingin fokus kepada riwayat ini sahaja. Adakah ia sahih dari mulut baginda Nabi sallallah alaih wasallam?
3. Setiap anggapan bahawa artikel ini menghalang orang beribadat mestilah dijauhi kerana saya hanya ingin membincangkan status hadis sahaja.
4. Saya akan menghuraikan status hadis berdasarkan fakta yang dibawa oleh ulama hadis.
Baiklah,
sekarang saya akan nyatakan status hadis ini. Hadis ini adalah hadis riwayat
Ibn Majah dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman. Hadis ini PALSU. Ini kerana
dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Abu Bakar bin Abdullah bin Abi
Sabrah.
Berikut
adalah komentar ulama Jarh wa Taadil terhadap kredibiliti beliau:
❶Ahmad bin Hanbal: Pemalsu hadis dan pendusta. Hadisnya tiada nilai.
❷Kata Ibn al-Madini: Daif, perawi hadis munkar (Munkar al-Hadith)
❸Kata al-Bukhari: Daif, perawi hadis munkar (Munkar al-Hadith)
❹Kata Ibn Maien: Pemalsu Hadis
❺Kata al-Nasaie: Matruk (perawi yang ditinggalkan riwayatnya)
❻Kata Ibn Hibban: Beliau meriwayatkan hadis palsu (dan menyandarkannya kepada perawi tsiqah), tidak halal meriwayatkan darinya dan berhujah dengannya sama sekali.
❼Kata Ibn ‘Adiyy: Beliau antara pemalsu hadis.
(Lihat:
al-Nasaie, al-Dhuafa’ wa al-Matrukin, hlm. 114, Ibn Hibban, al-Majruhin, jld.
2, hlm. 407, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa Taadil, jld. 7, hlm. 306, al-Khatib
al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, jld. 14, hlm. 370-371, Ibn ‘Adiyy, al-Kamil fi
al-Dhu’afa’, jld. 7, hlm. 297, al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 4, hlm. 503-504,
Ibn Hajar al-‘Asqalani, Tahzib al-Tahzib, no. perawi: 138)
Maka jelaslah bahawa beliau dikategorikan sebagai pendusta yang memalsukan hadis. Tambahan pula hadis ini diriwayatkan dari jalur beliau sahaja.
Cuma
saya ingin jelaskan beberapa perkara di sini:
Pertama: Perbezaan Penilaian Antara Imam Bukhari, Ibn al-Madini dan Majoriti Ulama Jarh wa Taadil.
1. Penilaian al-Bukhari dan Ibn al-Madini ke atas beliau sebagai daif sebenarnya tidak bercanggah dengan pandangan yang menyatakan beliau pendusta. Ini kerana pandangan al-Bukhari dan Ibn al-Madini dianggap mujmal (tidak dinyatakan sebab kedaifan) manakala pandangan majoriti ulama Jarh wa Taadil pula mufassar. Mengikut kaedah ilmu Jarh wa Taadil, pandangan mufassar lebih utama untuk dipegang kerana pengkritik perawi ini mengetahui sebab kedaifannya.
2. Tambahan pula, Imam Bukhari juga diriwayatkan menyatakan bahawa beliau munkar al-Hadith. (Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 7, hlm. 296) Tambahan pula istilah Munkar al-Hadith di sisi Imam Bukhari membawa maksud seseorang perawi yang tidak halal kita meriwayatkan hadisnya (daif berat). (Lihat: al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jld. 1, hlm. 349). Ini mengukuhkan lagi pandangan majority ulama Jarh wa Taadil terhadap kredibiliti perawi bernama Abu Bakar bin Abdillah bin Abi Sabrah ini.
Kedua:
Penilaian Ibn Rajab dan al-Iraqi
Mungkin ada yang bertanya mengapa Ibn Rajab dan al-Iraqi menilai hadis ini sebagai daif sedangkan ia palsu?
Sebenarnya
tidak ada percanggahan antara penilaian Ibn Rajab dan al-Iraqi dengan penilaian
ulama yang menghukum hadis ini sebagai palsu atau terlalu daif. Ini kerana
hadis palsu adalah satu cabang dari hadis daif. Maka tidak hairan jika mereka
menghukum daif riwayat ini sedangkan ada ulama yang menghukumnya sebagai palsu.
Bahkan Ibn Hajar al-‘Asqalani sendiri mempertahankan Ibn al-Solah dan
al-Khattabi ketika beliau menyatakan bahawa hadis palsu (maudhu’) adalah
seburuk-buruk cabang hadis daif.
Ini
membuktikan hadis palsu adalah 1 cabang dari hadis daif. Ini juga dipersetujui
oleh al-Suyuti, Ibn Jamaah, al-Iraqi dan al-Sakhawi. (Lihat: Ibn al-Solah,
Muqaddimah Ulum al-Hadith, hlm. 201, al-Iraqi al-Taqyid wa al-Idhah, hlm. 63,
Ibn Hajar, al-Nukat, jld. 1, hlm. 838, al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jld. 1, hlm.
274, al-Sakhawi, Fath al-Mughith, jld. 1, hlm. 252-253)
Tetapi ini bukan bermakna kita perlu membakulkan semua hadis yang dinilai daif oleh ulama sebagai palsu. Semua penilaian hadis mestilah melihat kepada sebabnya secara terperinci dengan melihat status perawi menurut ulama Jarh wa Taadil. Maka dalam kes ini, penilaian daif oleh Ibn Rajab dan al-Iraqi mesti difahami bahawa ia palsu kerana perawi yang meriwayatkan hadis ini dihukum pendusta oleh ramai ulama Jarh wa Taadil.
Ia juga tidak bermakna kita menolak hadis daif ringan secara total. Hadis daif ringan boleh diamalkan dalam Fadhail al-A’mal dengan syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh ulama.
Ketiga: Hukum Bepuasa Pada 15 Syaaban.
Seperti yang saya telah sebutkan di awal artikel ini bahawa perbincangan ini hanyalah tentang status hadis yang disebutkan oleh syeikh berkenaan. Ia bukan bertujuan untuk menghalang orang awam untuk beribadah. Oleh itu, ulama semisal Ibn Rajab menekankan bahawa puasa pada hari Nisfu Syaaban tetap digalakkan kerana ia termasuk dalam hari putih (hari ke 13, 14 dan 15 setiap bulan hijriah). (Lihat: Ibn Rajab, Lataif al-Maarif, hlm. 151)
Oleh itu, walaupun hadis ini palsu puasa pada hari Nisfu Syaaban tetap digalakkan kerana ia termasuk dalam hadis galakan berpuasa pada hari putih.
Kesimpulannya,
hadis ini telah jelas palsu kerana terdapat perawi bernama Abu Bakar bin
Abdillah bin Abi Sabrah yang dikategorikan sebagai perawi pendusta.
Saya
tahu ada orang yang memperlekehkan keilmuan saya. Tidak mengapa, jika tidak
mahu terima pandangan saya. Setidak-tidaknya terimalah pandangan orang yang
bukan sahaja digelar muhaddith tetapi digelar al-nuqqad (pengkritik perawi) dan
al-Jahabizah (jaguh-jaguh hadis) seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Maien,
al-Bukhari, Ibn ‘Adiyy dan al-Nasaie. Mereka semua adalah tonggak dalam ilmu
periwayatan hadis. Moga kita berlapang dada dengan penjelasan ini. Sekian.
__________
Dr. Rozaimi Ramle
Selasa,
26 Mei 2015
Selasa,
26 Mei 2015
Hadis Palsu: Kelebihan Huruf Ha pada kalimah "Allah"
Diriwayatkan oleh Abbas bin
al-Dhahhak al-Balkhi - seorang pendusta yang sangat jahat- daripada Umar bin
ad-Dhahak - seorang yang tidak dikenali (majhul) - daripada Abu
Muawiyyah daripada al-A’masy daripada Abu Salih daripada Abu Hurairah daripada
Nabi SAW,
مِنْ كَتَبَ بِسْمِ اللَّهِ
الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ وَلَمْ يُعْمِ الْهَاءَ الَّتِي فِي اللَّهِ تَعَالَى
كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ حَسَنَةٍ وَمَحَا عَنْهُ أَلْفَ أَلْفِ
سَيِّئَةٍ وَرَفَعَ لَهُ أَلْفَ أَلْفِ دَرَجَةٍ
“Sesiapa yang menulis bismillahirrahmanirrahim dan tidak
menyamarkan huruf ha pada kalimah Allah, maka Allah akan menuliskan baginya
sejuta kebaikan dan dihapuskan daripadanya sejuta keburukan dan diangkat
darjatnya sejuta darjat.”[1]
[1]
Direkodkan oleh Ibnu Hibban
dalam kitab al-Majruhin dan Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu`at. Beliau berkata:
Hadis ini tidak sahih.
Hadis Palsu:700000 Malaikat Bertasbih Kepada...
Diriwayatkan oleh Ibnu Mandah
daripada hadis Ahmad bin Abdullah al-Juwaibari al-Kazzab (si pendusta),
daripada Syaqiq daripada Ibrahim bin Adham daripada Yazid bin Abi Yazid
daripada Uwais al-Qarni daripada Umar dan Ali radhiallahuanhu daripada
Nabi SAW:
مَنْ دَعَا بِهَذِهِ الأَسْمَاءِ
اللَّهُمَّ أَنْتَ حَيٌّ لا تَمُوتُ وَغَالِبٌ لا تُغْلَبُ وَبَصِيرٌ لا تَرْتَابُ
وَسَمِيعٌ لا تَشُكُّ وَصَادِقٌ لا تَكْذِبُ وَصَمَدٌ لا تُطْعَمُ وَعَالِمٌ لا
تُعَلَّمُ" إِلَى أن قال: "فو الذي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ لَوْ دُعِيَ
بِهَذِهِ الدَّعَوَاتِ عَلَى صَفَائِحِ الْحَدِيدِ لَذَابَتْ وَعَلَى مَاءٍ جَارٍ
لَسَكَنَ وَمَنْ دَعَا عِنْدَ مَنَامِهِ بِهَا بُعِثَ بِكُلِّ حَرْفٍ منها سبع مئة
أَلْفِ مَلَكٍ يُسَبِّحُونَ لَهُ وَيَسْتَغْفِرُونَ لَهُ
“Sesiapa yang berdoa dengan menyebut
nama ini: Ya Allah Engkau adalah Zat Yang Maha Hidup dan tidak mati, Engkau
al-Ghalib dan tidak dikalahkan, Engkau Maha Melihat dan tidak ragu-ragu. Engkau
Maha Mendengar dan tidak pernah bimbang, Engkau Maha Benar dan tidak berdusta,
Engkau adalah tempat bergantung dan tidak diberi makan, Engkau Maha Mengetahui
dan tidak diajar – sehingga perkataan – Maka demi Zat yang telah mengutusku
dengan kebenaran, seandainya dipohon dengan menyebutkan doa-doa di atas
pedang-pedang besi, nescaya akan tenang. Sesiapa yang berdoa dengan doa ini
ketika tidur akan diutus kepadanya dari tiap-tiap hurufnya 700,000 malaikat
yang bertasbih kepadanya dan meminta ampun untuknya.”[1]
Kualiti Hadis
Ibnu Qayyim di dalam al-Manarul Munif menyebutkan:
Hadis ini dibawa pula oleh seorang
pendusta yang lain iaitu al-Husain bin Daud al-Balkhi daripada Syaqiq.
Diriwayatkan pula oleh pendusta lainnya, Sulaiman bin Isa dikatakan daripada
Thauri daripada Ibrahim bin Adham.
Hadis ini dan yang sepertinya, bagi
orang yang sedikit pengetahuannya tentang Rasul SAW dan sabdanya pun tahu
bahawa ianya palsu dan satu penipuan atas Nabi.
Hadis Dhoif: Ganjaran 1 Juta Pohon Kurma di Syurga
Diriwayatkan oleh Ja’far bin Jasr
daripada ayahnya daripada Thabit daripada Anas, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَالَ: سُبْحَانَ
الله وَبِحَمْدِهِ غَرَسَ الله لَهُ أَلْفَ أَلْفِ نَخْلَةِ فِي الْجَنَّةِ
أَصْلُهَا مِنْ ذَهَبِ
“Sesiapa yang mengucapkan ‘subhanallah wa bihamdih’ maka Allah
akan menanam untuknya sejuta pohon kurma di syurga yang asalnya daripada emas.”
(Direkodkan oleh Ibnu Adi dalam
al-Kamil: 2/150.)
Kualiti Hadis
Ibnu Qayyim di dalam al-Manarul Munif menyebutkan:
Ja’far dalam riwayat ini adalah Ja’far bin Jasr bin Farqad Abu
Salman al-Qassab al-Basri. Ibn ‘Adi berkata: “Hadis-hadisnya munkar.” Al-Azdi
berkata: “Para ahli hadis membincangkannya."
Adapun ayahnya (Jasr bin Farqad),
Yahya bin Ma’in berkata: “Tiada nilainya. Hadisnya tidak dicatat”. An-Nasa’i
dan al-Daraqutni berkata: “Dhaif”. Ibn Hibban berkata: “Keluar
daripada had adil.”. Ibn Adi berkata: “Kebanyakan hadis-hadisnya tidak
terpelihara.”
Subscribe to:
Posts
(
Atom
)